Selasa, 17 Mei 2016

ALFATIHAH.. MANGSA NAHAS HELIKOPTER

Allahu Akbar.....
Dalam senyum yang masih mekar.....
Dengan tawa mesra menyapa sesiapa jua...
Bersama keringat politik yang tak pernah jemu berbakti...
Dia dipanggil Tuhan...

Diiring sedu sayu isteri dan anak anak....
Semoga Allah menerimanya sebagai Muttaqin Solihin..
Redup dilindung Rahmat Yang Maha Pengampun....
Allahu maghfirlahu...Warhamhu....Wa'afini...wa' fuanhu....amin.....
Sebuah riak tangis di bandar DiRaja.....Kuala Kangsar...






Wan Mohammad Khair-il Pentingkan Keluarga Walaupun Sibuk - Anak

SEPANG, 7 Mei (Bernama) -- "Bapa mementingkan semangat kekeluargaan walaupun sibuk dengan kerjaya dan berkhidmat kepada rakyat," begitulah luahan anak sulung Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Wan Emir Astar, 26, berkata bapanya juga merupakan seorang insan yang dedikasi dan gigih serta hanya akan bercakap mengenai perkara penting.

"Dia seorang yang 'reserve' dan sentiasa memberikan nasihat sebaris iaitu 'ringkas dan mudah'.
"Beliau ada kepakaran untuk melihat sesuatu perkara daripada sudut pandangannya sendiri," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari Sabtu.

Wan Emir, yang sedang menduduki peperiksaan akhir dalam bidang arkitek di Kingston University tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama dua lagi adik lelakinya, Wan Imar Izzat, 25, dan Wan Muhammad Amar, 19, dari London dan telah berlepas ke Kuching, Sarawak pada 7.30 malam ini.

Wan Mohammad Khair-il Anuar merupakan antara enam yang terlibat dalam nahas helikopter di kawasan Sebuyau, Sarawak petang Khamis lalu. Setakat ini, lima mayat ditemukan dalam tragedi itu sementara pencarian seorang lagi mangsa diteruskan.

Sambil menahan air mata, kali terakhir dia berjumpa bapanya adalah pada minggu lalu di London sebelum Wan Mohammad Khair-il Anuar pulang ke Malaysia selepas selesai lawatan kerja sebagai Pengerusi MPOB di Brussel, Belgium dan Paris, Perancis.

"Jumaat lalu, bapa datang ke rumah di London dan menghabiskan masa bersama dan bertanyakan keadaan kami, dan pelajaran. Kita (tiga beradik) semua keluar untuk makan tengah hari dan menghabiskan masa sampai petang. Lepas itu, kami menghantarnya ke lapangan terbang," katanya.
Sementara itu, anak keduanya Wan Imar berkata beliau merupakan orang pertama mendapat tahu mengenai kehilangan helikopter menerusi seorang rakannya yang berada di Sarawak dan berada di rumah semasa menerima berita itu.

"Adik bongsu saya berada di perpustakaan membuat persiapan peperiksaan minggu depan. Saya tidak boleh fikir dan buntu serta tidak tahu bagaimana hendak memaklumkan berita ini kepada keluarga, terutamanya ibu.

"Jadi, saya menelefon ibu yang berada di Kuala Kangsar dan bertanyakan mengenai bapa namun ibu juga ketika itu masih tidak tahu dan menyebabkan dia terpinga-pinga serta bertanya mengapa saya bertanya begitu," katanya.

Wan Imar, yang sedang menguruskan perniagaan bapanya, W&W Architect di London, turut mencari berita helikopter hilang di laman sesawang dan selepas mendapatkan pengesahan, barulah memberitahu kepada keluarganya.

Dalam pada itu, anak bongsunya, Wan Muhammad Amar, pelajar tahun pertama di City University berkata dia reda dengan kejadian yang menimpa bapanya dan berharap beliau akan dijumpai dengan segera.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan mencari dan penyelamat atas segala usaha dan dedikasi dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAHABAT CYBER