Jumaat, 15 Mei 2015

SULTAN PERAK DAN TUANKU ZARA ZIARAH MAKAM SEKITAR PARIT

Tabika KEMAS Padang Changkat mengambil kesempatan membawa anak2 Tabika melawat makam yang bakal diziarahi oleh Tuanku Sultan dan Permaisuri Perak pada pagi ini.... Semalam juga Tuanku Sultan telah menziarah makam yang terletak di Kg. Tepus dan Pekan Bota Kanan.. tahniah cekgu Hasnifalina Hassan, cekgu Mujako dan cekgu Sal Shamia dan cekgu Junaidah Yusuf...









Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim hari ini berangkat menziarah lima makam sultan terdahulu pada hari kesembilan Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV.


Pasangan diraja yang lengkap berpakaian baju Melayu dan kurung coklat cair tiba di Pulau Semat, Manong yang menempatkan makam Almarhum Sultan Tajul Ariffin, iaitu Sultan Perak ke-4, pada kira-kira 9.30 pagi.
    

Majlis tahlil dan bacaan doa selamat diadakan dengan dipimpin oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Kangsar Burhanuddin Md Dali. Pasangan diraja itu kemudian menyiramkan air mawar serta menaburkan bunga ke atas makam berkenaan.
    
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli dan beberapa pemimpin kerajaan negeri. Mengikut sejarah Perak, Sultan Tajul Ariffin diangkat menjadi Sultan Perak selepas kemangkatan kekanda baginda iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Shah pada 1584.


Sultan Tajul Ariffin bersemayam di Pulau Semat serta memerintah selama 10 tahun dan selepas mangkat pada 1594, makam baginda digelar 'Marhum Mangkat di Tebing', yang dianggap keramat. Makam bersebelahan merupakan milik isteri baginda yang bernama Puteri Ajaib.
    
Usai menziarah makam itu, Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara berkenan meluangkan masa kira-kira 20 minit menghadiri Jamuan Bersama Rakyat di Balai Raya Kampung Semat sebelum ke makam Almarhum Raja Sulong Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Shah di Kampung Tepus Belanja. Selepas itu, baginda berdua berangkat ke Majlis Santapan tengah hari di Rumah Rehat Cempaka Sari, Pekan Parit.
    

Pada sebelah petang, pasangan diraja itu berangkat menziarahi makam Almarhum Sultan Mudzaffar Shah III (Sultan ke-13) di Kampung Selat, Bota; Sultan Alauddin Shah (ke-5) dan Sultan Ahmaddin Shah (ke-18) di Kampung Bota Kanan. Baginda berdua menyiramkan air mawar serta menaburkan bunga ke atas makam-makam berkenaan.


   
Majlis tahlil dan bacaan doa selamat turut diadakan di kesemua makam yang diziarah. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAHABAT CYBER